Rabu, 4 November 2020

HATI YANG RAPUH

 

Pudarnya Pesona Cleopatra.

Hari ini gerak jari saya meruntun untuk menulis buat sekian kalinya. Saya sangkakan nada dan rentak hati saya yang selama ni tenang tidak mudah berkocak.Rupa-rupanya jiwa ini tenang di permukaan tetapi dasarnya terlalu bergelora buat masa ini. Asam garam kehidupan ini menjadikan saya pemerhati setia pada tiap-tiap kejadian dan peristiwa yang berlaku di sekeliling saya. Betapa rapuhnya harga sebuah persahabatan dan ikatan ukhwah. Hati saya berdetik, jika inilah takdir yang Allah tetapkan untuk saya, saya reda. Jika inilah balasan untuk tiap-tiap kenangan yang tercipta saya terima kerana saya faham dan tahu keindahan Cleopatra itu bukan sesuatu yang asli, malah saya cukup mengerti  keindahan Cleopatra hanya satu tarikan yang tidak kekal. Apabila musim bermadu tamat, hubungan akan menjadi pudar. Ada insan yang jatuh hati tanpa syarat, tapi tak kurang juga yang mencintai kerana sesuatu asbab. Adakah pemikiran saya masih lagi relevan dengan perjalanan waktu menongkah arus langit terbuka ini? Pada saya cinta itu hadir tanpa syarat, jika kita jatuh cinta kita tidak memerlukan sebab. Oleh itu jangan tanya saya mengapa saya jatuh cinta, mengapa saya suka kepada si anu atau si anu. Cukuplah bagi saya, saya suka , jika dia baik saya suka, jika dia tidak baik pun saya suka. Perkara ini amat berbeza jika saya benci, Kerana kebencian itu akan memakan diri saya, membuatkan saya sakit sebab itu saya memerlukan sebab untuk membenci. Semoga sebab-sebab untuk membenci itu tidak hadir dalam kamus diri saya kerana saya dididik untuk memaafkan, saya dididik untuk mengalah, saya dididik  untuk menghormati hak orang lain, namun hakikatnya saya bukan malaikat dan saya bimbang sebab itu tiba-tiba muncul dalam hidup saya. Pada ketika itu masihkah saya terpesona pada kecantikan Cleopatra?!!!

Oleh itu,

 
jika kau lihat pokok itu teguh berdiri , jangan pernah kau sangka ia tidak pernah goyah disapa ribut

jika kau lihat mentari itu tersenyum bersinar jangan pernah kau putuskan ia tidak pernah mendung

Jika kau sedang mengalirkan air mata jangan pernah kau terfikir bahawa senyuman itu tanda bahagia

Tiada ulasan: